Friday, January 27, 2012

Doa mohon zuriat

Apa yang tidak boleh dilakukan oleh wanita yang berada dalam iddah kematian suami?

Persoalan kali ini akan menjengkelkan golongan ‘pembela wanita’ yang beriya-iya mahu ‘membebaskan’ golongan wanita dari cengkaman ‘kezaliman’.

Mungkin ada yang beranggapan bahawa Islam itu zalim, Islam tidak indah, Islam mengongkong wanita dan macam-macam lagi apabila mendapati bahawa terdapat berbagai-bagai halangan yang dikenakan ke atas wanita yang baru sahaja kematian suami. Tidakkah mereka ini patut dibiarkan bebas untuk ‘menghiburkan hati’ yang sedang sedih? Biarkan sahaja mereka pergi kenduri-kedara, pergi melancong, window shopping dll…

Apabila kita melihat hukum Allah s.w.t, janganlah kita lihat dari sudut penzahiran hukum semata-mata. Penilaian kita belum tentu dapat menyamai penilaian tuhan yang Maha Hebat. Penilaian kita mudah didorong oleh akal fikiran yang cetek dan diburukkan lagi dengan kehendak nafsu yang tinggi.

Semenjak saya menulis tentang iddah, timbul banyak persoalan tentang apa yang tidak boleh dilakukan oleh isteri yang baru sahaja kematian suami atau dalam erti kata lain, perempuan yang dalam iddah kematian suami. Saya ditanya, boleh tak itu dan ini…. bila saya kata tak boleh, respon yang diterima ialah, nak buat juga. Hmmm… berlapang dada lah… pasti ada hikmahnya. 

Saya sendiri sudah melalui fasa iddah kematian suami. Saya sangat faham situasi ini. Bila kita berada dalam kedudukan yang sangat sukar, kenalah didik jiwa supaya menyedari bahawa ada orang lain yang lebih sukar lagi. Saya melalui iddah kematian suami dalam keadaan sarat mengandung 8 bulan. Ada 4 orang anak lagi yang semuanya masih kecil. Ada yang masih minta dikendong dan pada masa itu saya tiada pembantu rumah sepenuh masa. Ibubapa saya pula telah meninggal dunia dan saya tinggal di Utara, jauh dari adik-beradik yang rata-rata tinggal di Selangor dan KL. Saya rasa keadaan saya sangat sukar, tapi, saya kena ingat selalu bahawa ada orang lain yang lebih sukar lagi keadaannya. Bila kita sabar, maka Allah akan permudahkan kehidupan. Alhamdulillah, syukur pada Allah s.w.t yang telah ‘menghadiahkan’ untukku ujian ini. Terlalu banyak yang dipelajari daripada ujian ini.

Kembali kepada topik artikel kali ini.
Wanita yang kematian suami hendaklah beriddah selama 4 bulan 10 hari. Tetapi jika dia mengandung, maka hendaklah dia beriddah sehingga bersalin. Tempoh ini digunakan untuk memastikan rahim kosong (bersih) dan digunakan oleh wanita untuk menyatakan kesedihan atas kematian suami. Ia juga merupakan fasa perubahan yang sukar dan perlu disokong oleh kaum keluarga, rakan-taulan dan jiran tetangga.

Terdapat LIMA larangan yang dikenakan ke atas wanita yang kematian suami:
1. bertunang (secara berterus-terang)
2. berkahwin
3. berhias pada diri atau pakaian
4. tidur di rumah selain rumah yang biasa didiami semasa hayat suami
5. keluar dari rumah tanpa ada tujuan penting yang tertentu

PERTAMA: BERTUNANG SECARA BERTERUS-TERANG

Para fuqaha sependapat bahawa wanita yang dalam iddah tidak boleh bertunang ataupun dipinang dengan cara berterus-terang. Namun jika mahu dipinang dengan berkias, maka ia diharuskan sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Tiada larangan ke atas kamu tentang apa yang kamu kiaskan untuk meminang wanita”.

KEDUA: BERKAHWIN

Sebagaimana yang telah disebutkan di awal tadi, tujuan iddah iaitu untuk memastikan rahim bersih dari benih suami. Firman Allah s.w.t., maksudnya: “Dan janganlah melakukan ikatan pernikahan hinggalah sampai tempoh tangguhnya (iddahnya)”. Ayat ini menjelaskan bahawa wanita yang dalam iddah tidak boleh bernikah sehinggalah tamat tempoh iddah tersebut.

KETIGA: BERHIAS DAN BERWANGI-WANGIAN PADA DIRI ATAU PAKAIAN

Wanita dalam iddah wajib menjauhkan diri daripada perhiasan atau berhias-hias sama ada pada tubuh badan mahupun pada pakaian. Malah dianjurkan supaya wanita ini menyatakan kesedihan atas kematian suami dan mengelakkan diri daripada menjadi perhatian lelaki kerana dia berada dalam fasa dilarang bernikah. Ini dapat mengelakkannya daripada perkara-perkara terlarang serta menghindari fitnah.

Dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w. ada menjelaskan bahawa tidak dihalalkan bagi wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk berkabung lebih dari 3 hari kecuali kerana (kematian) suami. Baginda seterusnya menjelaskan bahawa wanita yang kematian suami tidak boleh memakai celak, tidak boleh memakai pakaian yang berhias-hias dan tidak boleh menggunakan pewangi (perfume), kecuali jika dia membersihkan diri iaitu dengan sedikit haruman sahaja. [Lihat penjelasan lanjut dalam Fath al-Bari, jld 9, hlm. 491].

Hadis sahih ini jelas menyatakan bahawa wanita yang kematian suami dilarang memakai wangi-wangian, berhias pada diri atau pakaian termasuk memakai barang kemas pada badan. Dalam hal ini, dianjurkan supaya wanita ini menjauhkan diri daripada memakai pakaian yang menarik perhatian seperti berwarna terang kerana dikhuatiri akan membawa fitnah dan keinginan pada lelaki sedangkan dia masih dalam tempoh larangan berkahwin. 

Walau bagaimanapun, tidak semestinya wanita dikehendaki memakai pakaian berwarna hitam. Hitam ialah lambang berkabung bagi seluruh penduduk dunia. Harus wanita dalam iddah berpakaian hitam tetapi tiada larangan untuk dia memakai pakaian berwarna lain.
Diharuskan juga menggunakan pewangi sekadar untuk menghilangkan bau yang busuk pada badan seperti semasa mandi wajib selepas habis haidh iaitu digunakan pada faraj.
Diharuskan pula memakai celak untuk perubatan, tetapi jika mahu dipakai untuk kecantikan, maka ia dilarang.

Diwajibkan ke atas wanita untuk tetap menjaga kebersihan seperti mandi, bersyampu, menyabun badan dll tetapi hendaklah mengelakkan daripada menggunakan peralatan yang mempunyai wangian atau sekurang-kurangnya wangiannya sangat sedikit.

KEEMPAT: TIDUR DI RUMAH LAIN

Larangan ini terpakai untuk wanita yang berada dalam iddah kematian suami dan juga iddah perceraian biasa. Ertinya, dilarang tidur di rumah yang bukan menjadi kebiasaannya tidur semasa masih dalam ikatan perkahwinan.

Firman Allah s.w.t., maksudnya: “Jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu maka ceraikanlah mengikut masanya dan hendaklah isteri-isteri kamu mengikut iddah dan takutilah Allah tuhan kamu. Janganlah kamu keluarkan isteri-isteri kamu dari rumah-rumah mereka dan janganlah pula mereka keluar darinya kecuali jika datang kebinasaan yang jelas.” [Surah al-Talaq: ayat 1].

Dalil ini terpakai ke atas semua wanita yang berada dalam iddah bahawa mereka dilarang meninggalkan rumah yang menjadi tempat tinggal mereka selama ini. Malah suami yang menceraikan juga dilarang menghalau keluar isteri yang diceraikan. Kelonggaran untuk tinggalkan rumah hanya dibenarkan jika ‘datang kebinasaan yang jelas’ seperti banjir, rumah hampir roboh dan sebarang ancaman yang lain.

Hujah ini disokong pula oleh hadis sahih bahawa pada satu ketika seorang sahabat wanita bernama Furai’ah telah kematian suami dan memohon kebenaran Rasulullah s.a.w. untuk pulang ke rumah keluarganya. Namun Rasulullah s.a.w. memerintahkannya untuk terus tinggal di rumah yang selama ini didiami sehingga habis iddah iaitu 4 bulan 10 hari. Sabda baginda s.a.w. maksudnya: “Tinggallah tetap di rumah kamu sehingga habis tempoh tangguh (iddah)”.

KELIMA: KELUAR DARI RUMAH TANPA TUJUAN (KEPERLUAN TERTENTU)

Larangan tidur di rumah lain mempunyai kaitan dengan larangan yang kelima iaitu tidak dibenarkan keluar dari rumah jika tiada keperluan atau tujuan tertentu yang penting. Hal ini disepakati oleh majoriti fuqaha. 

Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Muslim menjelaskan bahawa Jabir bin Abdullah berkata, maksudnya: “Ibu saudaraku telah diceraikan, kemudian dia mahu memetik nakhil (buah kurma) maka seorang lelaki telah melarangnya (daripada keluar memetik nakhil), maka ibu saudaraku pergi bertemu Rasulullah s.a.w., maka baginda bersabda: Bahkan pergilah memetik buah tersebut mungkin kamu dapat bersedekah dengannya atau melakukan perkara yang baik.”

Para fuqaha mengqiyaskan hadis ini dengan wanita yang dalam iddah kematian suami bahawa lebih utama lagi untuk membenarkan mereka keluar rumah terutamanya untuk mencari nafkah kerana tidak ada orang yang menanggung nafkah mereka. [Sila ambil perhatian bahawa wanita yang diceraikan, nafkahnya semasa dalam iddah masih ditanggung oleh suami yang menceraikan. Jika suami engkar, buatlah aduan dan tuntutan di Mahkamah Syariah]. 

Dalam satu hadis yang lain, isteri-isteri para syuhada Perang Uhud yang tinggal berjiran bertemu Rasulullah s.a.w. dan bertanya, maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berasa gusar di malam hari, bolehkah kami tidur di rumah jiran kami? Apabila siang kami akan pulang ke rumah kami.” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Bercakaplah sesama kamu tetapi apabila kamu mahu tidur maka kembali setiap wanita ke rumah masing-masing.”
Dalam kitab-kitab fiqh banyak disebutkan tentang keharusan wanita dalam iddah kematian suami untuk keluar dari rumah pada waktu siang tetapi dengan syarat terdapat tujuan tertentu dan penting. Menurut para fuqaha, antara perkara tersebut ialah seperti untuk mencari nafkah dan membeli barang keperluan rumah. 

Dalam mazhab Maliki pula ditambah penjelasan bahawa perempuan yang berada dalam iddah dilarang keluar untuk ziarah menziarahi, dilarang keluar berdagang (berniaga) (kecuali jika itu sumber nafkahnya), dilarang keluar untuk mengucapkan tahniah (seperti menghadiri majlis perkahwinan, pertunangan, hari jadi dan kelahiran bayi), dilarang keluar untuk mengucapkan takziah (seperti menziarahi orang sakit atau kematian) dan dilarang tidur kecuali di dalam rumahnya sendiri. Majoriti fuqaha juga berpendapat bahawa wanita yang dalam iddah dilarang mengerjakan haji atau umrah. 

Untuk pencerahan lanjut, lihat Bada’i al-Sana’i, al-Syarh al-Saghir, Nihayat al-Muhtaj fi Fiqh al-Syafii dan Kashshaf al-Qina’.

===================
Baiklah, sekarang dengan fikiran terbuka, cuba perhalusi hukum-hakam yang telah saya nyatakan yang dipetik daripada wahyu Allah serta fikrah para fuqaha yang tiada tolong tandingnya berbanding kita. Apakah agaknya hikmah di sebalik undang-undang ini?
Hmm… saya telah melalui fasa ini dan saya telah merasai hikmah peraturan yang ditentukan oleh Allah s.w.t. ini…

Sekarang terserah kepada anda sama ada anda sedang dalam iddah, mempunyai ibu yang dalam iddah, jiran atau adik-beradik yang dalam iddah atau sebagainya…. Semua pihak perlu saling faham-memahami situasi wanita dalam iddah dan saling ingat-mengingatkan jika ada orang yang anda kenal telah tersilap langkah semasa berada dalam iddah. Bantulah mereka melalui tempoh peralihan yang sangat perit ini.

Semoga semuanya berada dalam rahmat Ilahi. Kasih sayang Allah s.w.t. sentiasa mendahului kemurkaannya, maka janganlah kita memilih kemurkaannya sedangkan azab Allah itu sangat pedih manakala syurga yang indah dengan ni’mat melimpah ruah menanti wanita mu’minah yang sabar meniti kehidupan tanpa seorang suami!

http://drhasanah.com/2009

Syiqaq boleh fasakh perkahwinan


Nora dan Azam telah 3 tahun berumahtangga dan masih belum dikurniakan cahayamata. Nora telah memfailkan tuntutan perceraian secara fasakh atas alasan Azam telah tidak menunaikan nafkah batin, kelakuan dan sikap suami yang menyebabkan berlakunya syiqaq serta wujudnya penganiayaan dan dharar kepada Nora.

Kita rujuk kepada firman Allah swt yang melarang para suami menyakiti isteri-isteri yang bermaksud :

`Dan janganlah kamu menyakiti perempuan-perempuan (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik dari apa yang telah kamu berikan kepadanya kecuali apabila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata’

`Dan janganlah kamu pegang isteri kamu dengan maksud memberi mudharat kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka) dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiayai dirinya sendiri’

Azam telah gagal menunaikan hubungan kelamin selama 1 tahun dengan Nora tanpa alasan atau sebab yang munasabah. Azam juga gagal mengemukakan, atas alasan apakah hubungan tersebut tidak boleh diadakan.

Firman Allah swt yang bermaksud : `Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri kamu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka janganlah kamu terburu-buru (menceraikan), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedang Allah hendak menjadikannya pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)’

Dalam kitab Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah Juzuk ii muka surat 243 Ibn Hazm dipetik sebagai berkata `difarhukan ke atas setiap lelaki untuk bersama (jimak) dengan isterinya dan sekurang-kurangnya berbuat demikian sekali dalam tempoh suci jika mampu. Dan jumhur ulama juga berpendapat sama seperti pendapat ini yang menjadi kewajipan suami apabila tiada keuzuran.

Firman Allah swt yang bermaksud : `kemudian apabila mereka telah bersuci maka datanglah mereka menurut jalan yang diperintahkan Allah kepada kamu’ (Al-Baqarah : 222)

Seterusnya di dalam Seksyen 52 (d) EUUKIS 1984 memperuntukkan bahawa pembubaran perkahwinan dibenarkan atas alasan kegagalan suami menunaikan nafkah batin.

Nora turut menyatakan bahawa sikap dan kelakuan suami telah menyebabkan beliau amat tertekan, wujud dharar dan berlakunya syiqaq.

Di dalam kitab Fiqh al-Islami wa Adillatuhu m.s. 527 menyebutkan bahawa Hakim boleh merungkaikan ikatan sesebuah perkahwinan apabila rumahtangga tersebut berlaku syiqaq atau pergaulan rumahtangga yang buruk. Teks tersebut berbunyi `.. dan dari segi kemudaratan pula suami menyakiti isterinya dengan kata-kata ataupun perbuatan seperti memaki hamun memburukkan peribadi sehingga menjejaskan reputasi memukul sehingga luka atau memaksa melakukan perbuatan-perbuatan yang diharamkan oleh Allah, meninggalkan isteri dan tidak menegurnya tanpa sebab-sebab yang seumpamanya’.

Selanjutnya di dalam Kitab Fiqh Sunnah oleh Sayyid Sabiq menyebutkan keadaan yang dibolehkan untuk memisahkan pasangan suami isteri termasuklah dharar syarie. Dalam mazhab Maliki dibolehkan isteri memohon kepada hakim untuk memisahkan pasangan kerana wujud syiqaq/dharar bagi mengelakkan pertikaian dan supaya tidak menjadikan kehidupan rumahtangga hancur atau pecah belah.

Prinsip `dhirar’ ini telah diterima oleh kebanyakan Negara-negara Islam termasuklah undang-undang keluarga Islam di Malaysia. Jika diteliti dengan lebih mendalam, prinsip pembubaran perkahwinan atau fasakh kerana `aniaya’ atau `dharar’ ini tidaklah disyaratkan penganiayaan atau `dharar’ terhadap tubuh badan sahaja, malahan lebih luas dari itu termasuk enggan bercakap dengan isteri, membelakangkan isteri atau memalingkan muka darinya semasa di katil, mengutamakan memberi layanan kepada perempuan lain dari isteri, memukul dengan pukulan yang menyakiti dan seterusnya dan tidaklah disyaratkan pukulan itu dilakukan berulangkali dan lazim (Dr Ahmad Al-Husary Al-Ahwal Al-Syakhsiyah Maktabah Al-Kulliyyat Al-Azhariyyah 1968, hal 727, Mesir)

Dalam subseksyen 2 EUUKIS 1984 ada didefinisikan sebagai `bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran dan harta benda menurut kebiasaan yang diakui oleh hukum syarak’

Di dalam kes Hairun Mohd Sharif lwn Omar Mohd Noor, mahkamah memberikan huraian berkenaan perkataan `lazim menyakiti’.
A) Perkataan `lazim menyakiti’ di dalam contoh (i) di bawah Seksyen 52(1)(h) tidak bermakna memukul dengan cara fizikal. Di dalam bahasa perundangan, ada perbezaan makna di antara `assault’ dan `battery’. Perkataan `battery’ bermakna memukul dengan cara fizikal, tetapi perkataan `assault’ tidak begitu
B) Perkataan `lazim menyakiti’ hanya relevan di dalam kes penganiayaan berbentuk mental seperti menyakiti hati dan perasaan yang hanya timbul apabila berlaku acap kali dalam satu jangka masa dan oleh itu berkehendakkan `lazim’ atau `habitual’ dibuktikan oleh isteri
C) Apabila penganiayaan berbentuk fizikal, maka memukul, walaupun tidak lazim, mungkin mencukupi untuk membukti suatu penganiayaan terhadap seorang isteri



suriaterang.blogspot

A man must think about feelings before he talks about them, while a woman can feel, talk, and think all at the same time
- Mars and Venus together forever

Thursday, January 26, 2012

Wednesday, January 04, 2012

Peliharalah anakmu dengan DOA




Bahwasanya berilah anak-anak itu kepada ibunya untuk memelihara mereka…

Anak adalah anugerah kepada setiap ibu bapa.Walau senakal mana pun mereka, pasti ada cara yang sesuai bagi mendidik dan menangani tahap kenakalan bagi setiap tahap umur.
Bahwasanya berilah anak-anak itu kepada ibunya untuk memelihara mereka…
Anak adalah anugerah kepada setiap ibu bapa.Walau senakal mana pun mereka, pasti ada cara yang sesuai bagi mendidik dan menangani tahap kenakalan bagi setiap tahap umur.

Dalam Islam sendiri menggariskan langkah-langkah yang sesuai untuk menangani golongan ini.Paling utama ialah doa yang memainkan peranan penting dalam pembentukan sebuah keluarga bahagia ke arah mewujudkan baiti jannati.

Sebagai ibubapa, kita perlu sentiasa mendoakan kesejahteraan anak dan tidak mengatakan perkara yang buruk-buruk kerana kata-kata seseorang ibu (sekali sebutan) adalah doa.Perkataan seperti ‘bodoh’,’malas’,’bangang’,’tak reti diajar’ hanya akan membuatkan seorang kanak-kanak itu memberontak,seterusnya langsung mengingkari setiap arahan dari ibu bapa.

Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan seperti berikut.Doa mestilah disusuli dengan tindakan yang hikmah dalam cara kita membentuk peribadi anak.

1.Selalu amalkan baca ‘Ya Latif’ sebanyak tujuh kali dan hembuskan di kepala anak sewaktu mereka  
   sedang atau hendak tidur.

2.Banyak bersabar dan yang utama, jangan cepat melenting jika anak melakukan sesuatu yang di luar
   dugaan.Cuba berbicara dengan baik dan gunakan kaedah memujuk.

3.Banyakkan berdoa kepada Allah dan minta dilembutkan hati anak-anak.

4.Bila bangun pagi,peluk anak sebanyak tiga kali,usap kepalanya dan berselawat sambil berniat dalam hati
   (bergantung pada niat kita untuk di anak).

5.Baca Surah al-Fatihah, surah Taha ayat 1 sehingga 5,diikuti doa Nabi Daud sebanyak 3 kali.Doanya,”Ya
   Allah,lembutkanlah hati anakku(sebut namanya),seperti mana Engkau lembutkan Nabi Daud akan besi.
   (sebut namanya).”Kemudian hembuskan pada makanan dan minuman.Kalau anak masih
   menyusu,hembuskan pada susu.

6.Untuk membantu anak mudah belajar dan menelaah pelajaran,baca zikir Ya Latif sebanyak 129 kali diikuti
   ayat 19 daripada surah as-Syura bermaksud ”Allah Maha Lembut kepada hamba-Nya;Dia memberi
   rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki,dan Dialah Yang Maha Kuat,Lagi Maha Kuasa”Sebaik-
   baiknya dibaca selepas Subuh, baca pada semua botol air untuk minuman dan masakan seisi keluarga.

7.Ketika memasak,sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa ayat 200 dari Surah Ali Imran yang
   bermaksud:”Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu,dan
   bersedialah serta bertakwalah kepada Allah supaya kamu berjaya.”

   Diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir’Ya Hayyu,Ya Qayyum,Ya Latiff dan Ya Rahman’berulang-
   ulang.Semua ini Insya-Allah adalah da pelembut hati.Begitu juga,Surah Toha ayat 1hingga 8,surah ar-
   rahman ayat 1 hingga 4 dan surah al-Insyirah dibaca dalam kegiatan lain seperti ketika menemani anak
   menelaah buku dan membaca al-Quran.

8.Bagi ibu yang bercita-cita mendapat zuriat yang baik,amalkan ayat 38 daripada Surah Ali Imran iaitu doa
   Nabi Zakaria yang bermaksud,”Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya,katanya:Wahai
   Tuhanku!Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik;sesungguhnya Engkau sentiasa
   Mendengar(menerima)doa permohonan.”

9.Kita juga digalakkan menyentuh lembut ubun-ubun anak dengan tangan kanan sambil berdoa dan
   menyatakan harapan.Sebaik-baiknya setiap malam ketika anak dalam keadaan baru hendak tidur,ketika ini
   otak mereka sedang berehat dan lebih cepat mendengar kata.

10.Selepas solat lima waktu, amalkan doa daripada ayat 74 daripada Surah al-Furqan yang
     bermaksud,”Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata:Wahai Tuhan kami,berilah kami beroleh
     daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya,dan
     jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu)bertakwa.”
    Amalkan juga ayat 40 daripada Surah Ibrahim yang bermaksud,”Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang 
    yang mendirikan sembahyang,dan zurait keturunanku.Wahai Tuhan kami,perkenankan doaku.”

    Jadikanlah doa cara berkesan membentuk peribadi anak-anak.Doa itu senjata orang mukmin.
    Sesungguhnya Ummi berdoa agar anak-anak Ummi dilindungi dan dikasihi Allah selalu hendaknya.

Tahap Pendidikan Anak-Anak

Dalam mendidik anak-anak sebenarnya tiada formula khusus yang boleh diikuti atau diterapkan kerana setiap anak adalah makhluk yang luar biasa dan unik dan berbeza-beza antara satu sama lain

Menurut Datuk Dr. Haji Mohd fadzilah Kamsah dalam bukunya, 21 Kaedah Mendidik Anak cemerlang, ilmu mendidik anak adalah satu ilmu kemahiran yang perlu dimiliki oleh ibu bapa sebagaimana perlunya mereka memiliki ilmu kemahiran rumah tangga, kewangan, teknikal dan agama.

Rasulullah s.a.w. telah menggariskan empat tahap mendidik anak iaitu:

Tahap pertama:
Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun ) hendakkah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana haiwan menjaga anak.

Tahap kedua:
Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh(14 tahun)hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan beri tanggungjawab.

Tahap ketiga:
Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun ) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat.

Tahap keempat:
Anak berumur lebih 21 tahun. Hendaklah para ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat.Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakkan mereka terkawal.

1. Kaedah pesanan dan arahan.

Pesanan dan arahan merupakan salah satu daripada kaedah yang disarankan oleh Rasulullah S. A. W. Anak-anak hendaklah dididik dengan dipesankan sesuatu terlebih dahulu. Lihat bagaimana reaksi mereka, apakah mereka boleh melakukannya hanya selepas sekali pesanan. Jika tidak berkesan maka hendaklah dipesan berulang kali tanpa merasa jemu dan bosan. Menurut pandangan pakar pendidikan kanak-kanak, anak yang pintar perlu diberi nasihat dan pesanan 200 kali tanpa bosan supaya mereka benar-benar memahami pesanan itu dan dapat bertindak dengan baik.
Antara bentuk pesanan dan arahan kepada anak-anak :
• Mengenai solat di awal waktu
• Adab dengan orang tua-tua
• Adab dengan guru
• Adab dengan kawan-kawan
• Tugas harian di rumah
• Mengemas bilik sendiri termasuk meja belajar.
• Tatacara makan mengikut sunnah nabi
• Cara belajar yang berkesan
• Ingat sentiasa menutup aurat apabila keluar dari rumah
• Keselamatan jalan raya
• Tanggungjawab melindungi adik-adik.

2. Kaedah Bercerita

Kaedah bercerita menguatkan hubungan anak-anak dengan ibu bapa terutamanya kisah-kisah teladan daripada Al-Quran, kisah nabi dan sebagainya. Tujuan bercerita ialah untuk mendidik anak-anak secara tidak langsung melalui pemahaman minda bawah sedar mereka, menyampaikan maklumat dan menyerapkan pengajaran yang boleh dicungkil daripada cerita tersebut, mengerat dan merapatkan hubungan anak dan ibu bapa, anak-anak boleh menggambarkan di minda mereka dengan lebih jelas dan ini lebih berkesan bergantung kepada kemahiran pencerita.

3. Kaedah Soal Jawab

Bersoal jawab dengan anak akan menggerakkan minda mereka. Ibu bapa yang cemerlang hendaklah sentiasa bersoal jawab dan mengambil tahu mengenai diri anak dan perkembangan aktiviti dan pembelajaran mereka. Kaedah ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan tanpa mengira masa, keadaan dan tempat seperti ketika dalam perjalanan, di rumah, waktu makan dan sebagainya.

Ibu bapa hendaklah berusaha menjawab semua persoalan. Seandainya ibu bapa tidak tahu atau tidak pasti jawapan kepada soalan anak, jangan teragak-agak atau enggan untuk mengaku tidak tahu. Ibu bapa hendaklah memberi penjelasan atau jawapan kepada persoalan yang ditanya oleh anak daripada orang yang mahir dalam bidangnya.

Anak-anak kecil lazimnya suka bertanya soalan yang bertubi-tubi. Ramai ibu bapa yang tidak mengambil peduli keletah anak-anak ini. Tabiat ini tidak sewajarnya menjadi amalan ibu bapa kerana tabiat anak-anak yang bertanya itu sudah menggambarkan pembangunan minda anak-anka yang cemerlang. Jika ditangani dengan baik anak itu mempunyai potensi yang tinggi untuk menjadi anak cemerlang.

4. Kaedah merujuk pengalaman lalu
Pengalaman yang positif boleh dijadikan teladan, pengalaman yang negatif boleh dijadikan sempadan. Pengalaman ini elok dibuktikan dengan gambar, dokumen atau barangan peninggalan yang terlibat. Ini kerana pengalaman ini amat mudah untuk menjelaskan mesej yang ingin kita sampaikan dan mudah pula dijadikan iktibar oleh anak-anak. Pengalaman anak-anak itu juga penting. Kaitkan apa perlunya mereka berwaspada dengan peristiwa pahit yang telah mereka alami atau peristiwa manis dan kejayaan yang pernah mereka kecapi.

5. Kaedah nasihat dan teguran

Berilah nasihat dan teguran kepada anak-anak dalam hal akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab, kesihatan, suci hati dan erti kesusahan. Kaedah ini sangat penting dan ia berbeza dengan kaedah pesanan dan arahan. Ini kerana nasihat dan teguran tidak boleh dibuat setiap hari atau setiap masa kerana anak-anak akan mudah merasa jemu dan bosan.

Ketika mendengar nasihat dan teguran daripada ibu bapa, anak hendaklah dilatih supaya memandang wajah kedua-duanya atau tunduk.

6. Kaedah bermain dan bergurau

Cuba tanya diri anda, berapa kerapkah anda bermain-main dan bergurau-gurau dengan anak-anak anda? Terdapat pelbagai kaedah untuk kita bergurau dengan anak-anak ketika sedang bermain, beriadah mahupun bersukan. Matlamat bergurau dengan anak-anak ialah untuk menggembirakan hati mereka.

Mengikut kajian psikologi, apabila anak berasa gembira dan disayangi, mereka akan menjadi anak yang berdisiplin dan berakhlak yang baik. Tetapi jangan pula bergurau melampau batas seperti bermain dan bergurau berlarutan sehingga meninggalkan ibadah wajib dan tugas yang lebih penting.
Bapa juga tidak manis bergurau atau bermain dengan anak perempuan yang telah meningkat dewasa. Begitu juga ibu tidak manis bermain dengan anak lelaki yang telah meningkat dewasa. Perlakuan tidak manis ini jika tidak diikat oleh iman yang kuat, sering berlarutan sehingga boleh menyebabkan berlakunya sumbang mahram.

7. Kaedah latihan yang berterusan

Anak yang cemerlang perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah ini juga disarankan oleh Rasullullah S.A.W. Anak kita memang cemerlang tetapi perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah latihan boleh dibahagikan kepada beberapa ciri diantaranya :-

a. Jantina
Ibu bapa hendaklah memberi tugas kepada anak-anak sesuai dengan jantinanya seperti tugas yang berat dan kasar diagihkan kepada anak lelaki manakala anak perempuan kepada kerja-kerja dalaman yang lebih ringan dan sesuai dengan watak keperempuanan mereka. Bagaimanapun tidak salah jika anak lelaki diajar dan diasuh melakukan pekerjaan yang sering dilakukan oleh orang perempuan seperti membasuh pakaian sendiri, menyidai pakaian, melipat pakaian, memasak, membasuh pinggan dan sebagainya.

b. Usia
Pengagihan tugas juga perlu diagihkan mengikut usia. Anak yang berusia di bawah enam tahun belum boleh diberi tanggungjawab yang serius. Tahap tanggungjawab boleh ditingkatkan apabila usia mereka meningkat dan mengikut kesesuaian waktu.

Jangan lupa memberi pujian dan penghargaan kepada anak setelah mereka berjaya melakukan sesuatu pekerjaan itu. Namun jangan berlebihan kerana bimbang anak itu akan bersifat takbur.

Selepas baca, bolehlah beramal!!!!

Bermula kisah baru dalam hidupku

Hari ni angah dah mula sekolah......

"Angah suka sekolah ummi.....hari ni angah dah tak takut & dah pandai,,,,tak nak nangis lagi"...perbualan pagiku bersama angah di dalam kereta,  perjalanan sebelum sampai ke sekolah...

"Kakak nanti tolong hantar adik kat kelas, lepas tu baru pergi kelas kakak ye", bicaraku kepada kakak.  "Ok lah ummi tapi angah nanti jangan buat perangai, kakak serabut la", sampuk anak sulongku...

Alhamdulillah, biarpun meen hanya di Tahun 3, dia sudah boleh diharap untuk menggantikan tempat semasa ketiadaanku....berkat pengajaranku supaya anak-anak boleh berdikari.....untuk kemudahan mereka sendiri juga..

Sampai di sekolah jam 7.20 pagi...." Sayang anak-anak ummi...ingat ye pesan ummi.  Nanti angah dah siap tunggu kakak kat pondok sampai kakak sampai...".......ok ummi...

Ya Allah permudahkanlah perjalanan anak-anakku....lindungilah mereka, Amin :-)

Generasi yang dibinasakan

Tidakkah mereka memerhatikan berapa banyak generasi sebelum mereka  yang telah KAMI binasakan, padahal (generasi itu) telah KAMI teguhkan ke...